Sejarah Penubuhan SMUAPM

Sekolah Menengah Ugama (Arab) Pasir Mas atau nama barunya adalah Maahad Muhammadi Pasir Mas (MMPM) yang mana pelajaran ugama dan bahasa arab secara persekolahan telah di mulakan di Bandar Pasir Mas di akhir tahun 1941,iaitu menjelang serangan Jepun ke atas Semenenjung Tanah Melayu. Ini adalah dengan jasa (Syed Abdul Qadi Taha bin Al-Thaqaf ) sebagai guru pelapor dan pengasas.

Tempat pelajaran ini pada ketika itu ialah di rumah kediaman Allahyarham Syed Abdul Qadi Taha bin Al-Thaqaf sendiri di hadapan stesen kereta api Pasir Mas pada permulaannya mempunyai 3 orang murid iaitu Omar bin Haji Ahmad, Haji Muhammad bin Haji Ismail dan abdul Rahman bin Haji Muhammad ( Drs.).

Pada tahun 1942 iaitu di masa pendudukan tentera Jepun. Jumlah murid bertambah lebih kurang 30 orang dan tempat belajar berpindah ke sebuah berek di jalan Lemal. Ketika itu ustaz Syed Abdul Qadi dibantu oleh Syed Abdullah sebagai guru penolong. Bilangan murid semakin meningkat dan keadaan telah memaksa supaya diadakan sebuah bangunan khas untuk dijadikan sebuah sekolah Arab Ugama dengan usaha dan daya utama Allahyarham haji Muhammad Daud Al- Ahmadi serta dengan kerjasama orang ramai, sebuah bangunan didirikan tersebut diatas tanah Hajjah Che Zanab binti Haji Wok, dihilir Bandar Pasir Mas, Sekolah itu dinamakan Madrasah Ahmadiah di bawah tadbir Majlis Agama Islam.

Bangunan itupun juga dengan cepat menjadi sempit kerana pelajar-pelejarnya semakin ramai hingga terpaksa diikhtiarkan sebuah bangunan lain yang lebih besar, maka dalam bulan April 1944, sebuah bangunan batu dua tingkat telah didirikan di jalan Masjid lama.

Kemajuan semakin pesat, dan dalam tahun 1962 sebahagian dari murid-murid terpaksa belajar di sebelah petang manakala bangunan itu pula bertambah uzur. Memandang kepada demikian pihak jawatankuasa cuba hendak mengadakan bangunan tambahan. Tetapi oleh kerana kemajuan terlalu pesat hingga tidak dapat dikejar oleh usaha yang dijalankan, maka guru besar ( Ustaz Hashim bin Idris) telah membuat rayuan kepada Kementerian Pembangunan serta berunding dengan kalangan-kalangan tertentu bagi mendapatkan sebuah bangunan baru di atas sebidang tanah pemberian kerajaan kelantan, dan sebagai hasilnya terdirilah bangunan yang sekarang ini yang dirasmikan pembukaannya oleh yang terhormat Tengku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia, pada 13hb. Mac 1969.